Monday, January 26, 2009

Gelombang muzik indie




Kejayaan Meet Uncle Hussain menerusi Lagu Untukmu pada AJL23 meneruskan kesinambungan muzik bebas

KESINAMBUNGAN muzik indie dalam acara berprestij Anugerah Juara Lagi diteruskan apabila lagu kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) berjudul Lagu Untukmu dinobatkan sebagai Juara Lagu ke-23. Kejayaan lagu ciptaan Taja, Taas dan Laan itu mengingatkan kembali kejayaan manis kumpulan Estranged tahun lalu yang juga memenangi kategori yang sama menerusi lagu Itu Kamu.

Kemenangan lagu itu sekali gus membuktikan selera penggemar muzik tanah air semakin berubah serta cita rasa mereka dalam memilih muzik untuk dinikmati amat sukar dijangka. Perkara ini diakui sendiri vokalis kumpulan MUH iaitu Laan ketika ditanya kejayaan mereka dalam memartabatkan muzik indie yang selama ini begitu asing dalam arus hiburan tanah air.


“Ini menunjukkan minda pendengar kita semakin terbuka dan secara tidak langsung kita membawa acuan baru dalam industri muzik kita,” kata Laan ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas acara itu berakhir.

Mahu menggunakan wang yang dimenangi itu untuk mengembangkan lagi muzik mereka, gitaris mereka, Taja berkata kemenangan itu juga sedikit sebanyak memberi mereka semangat untuk terus melahirkan karya berkualiti kepada peminat muzik indie.

“Kami tak nafikan tekanan itu tetap ada kerana peminat akan ternanti-nanti apakah karya baru kami nanti sama bagus dengan Lagu Untukmu.



“Apapun, buat masa ini kami tidak bercadang mengeluarkan album apatah lagi ketika ini pasarannya pun kurang memberangsangkan. Tapi kami tetap menghasilkan bahan yang bermutu kepada peminat kami,” katanya lagi sambil mengakui saingan terdekat mereka pada malam itu adalah lagu Kalis Rindu hasil ciptaan Aidit Alfian berdasarkan kekuatan melodi lagu itu sendiri.

Turut cemerlang malam itu adalah Audi Mok dan juga Ahmad Idzham Omar, pencipta lagu Sampai Syurga yang dipilih sebagai juara kategori Balada. Walaupun lagu yang ditulis liriknya oleh Faizal Tahir itu memenangi tiga kategori iaitu Persembahan Terbaik, Vokal terbaik dan juara kategori balada namun Audi akur bahawa keunikan yang ada pada Lagu Untukmu membuatkan juri sepakat untuk memilihnya sebagai juara.

“Pada saya, lagu kumpulan Meet Uncle Hussain memang ada kelebihan tersendiri. Muziknya lebih segar dan saya lebih suka lagu berentak pop rock menjadi juara kerana kalau lagu balada yang menang, ia tiada elemen kejutan sebab sudah biasa,” kata Audi tanpa berselindung.

Sambil mengakui gabungannya dengan Faizal dan Ahmad Izham Omar sering membuahkan hasil, Audi berkata jika diberi kesempatan, dia memang ingin bekerjasama dengan kedua-dua mereka itu untuk projek akan datang.


“Setiap kali kami bekerjasama, pasti ada sesuatu akan terjadi. Saya tak nafikan kami ada keserasian dan harap kerjasama kami tak akan terhenti setakat di sini saja,” ujar Audi yang lagunya baru pertama kali memenangi salah satu kategori untuk Anugerah Juara Lagu.

Bukan saja Audi tetapi komposer yang tak pernah kenal putus asa, Julfekar juga berjaya menggenggam trofi Anugerah Juara Lagu untuk kategori Etnik Kreatif apabila lagu ciptaannya, Persoalannya dan liriknya ditulis Ku Seman & Izza Rosley terpilih sebagai juara.

”Sebagai komposer, kita kena perlu lebih kreatif. Kalau kita cipta lagu berirama tradisional, biarlah lagu itu kita selitkan pembaharuan seperti yang saya buat untuk lagu ini. Saya selitkan muzik tradisional Cina iaitu Erhu. Kalau kita tak buat macam tu, macam mana kita nak tarik pendengar muda.

“Jadi kemenangan ini saya anggap amat berbaloi dan ini mendorong untuk saya lebih kreatif dalam mencipta lagu. Unsur etnik bukan saja untuk lagu tradisional tetapi juga boleh diselitkan dalam lagu moden. Contohnya, untuk album Farawahida akan datang, saya akan selitkan muzik asli dari Borneo yang menggunakan buluh dan kayu,” jelas Julfekar.

Sementara itu, bagi Farawahida, sebagai penyanyi bukan saja dari segi vokal yang perlu dititikberatkan tetapi juga dari segi penampilan diri.

“Sebelum ini, walaupun saya sebenarnya orang Melayu tetapi sering dikaitkan dengan imej Bollywood dan sebagainya.Jadi tak salah rasanya jika kali ini saya tampil dengan imej gadis Cina.Biarlah berhabis sikit asalkan hasilnya nanti memuaskan dan dapat dijadikan kenangan sampai bila-bila,”ujar Fara yang turut mencatat kenangan manis apabila pertama kali menyertai Juara Lagu dan lagu nyanyiannya terus dinobatkan sebagai juara Etnik Kreatif.

Markah Laguku Untukmu memang selesa

BIARPUN berakhir tanpa sebarang kejutan, Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) yang mencapai kemuncaknya Ahad lalu, tetap melakar satu lagi detik bersejarah dalam kalendar industri hiburan tempatan, terutama dunia muzik.

Umpama membuka ruang kepada pencipta muda terus giat memberikan sentuhan ajaib mereka, seterusnya mencorakkan lagi industri hiburan dengan himpunan muzik yang segar, AJL23 mengangkat karya pemuzik baru iaitu Taja, Tass dan Lan menerusi Lagu Untukmu sebagai pemenang utama AJL23.

Dibawakan Meet Uncle Hussein (MUH), kemenangan Lagu Untukmu turut menyambung evolusi muzik yang dicetuskan Estranged pada malam AJL22, tahun lalu apabila buat kali kedua mengiktiraf muzik yang dibawakan oleh kumpulan indie sebagai juara terbaru.

Kejayaan Lagu Untukmu menafikan kekuatan 13 lagu lain, sekali gus turut memadamkan peluang Sampai Syurga karya Audi Mok dan Faizal Tahir yang sebelum itu diumumkan memenangi tiga kategori termasuk juara Balada.

Pelbagai faktor menyokong kepada kejayaan Lagu Untukmu dan Ketua Juri AJL23, Azmeer mengakui, banyak kelebihan yang ada pada lagu itu untuk menyerlah berbanding 13 sentuhan lain.

Menurutnya, kemenangan MUH bertepatan pada masanya kerana mereka membawakan irama baru dan segar, malah turut mencipta aliran terkini dalam industri muzik.

Kejayaan Lagu Untukmu diperkuatkan lagi dengan nyanyian vokalis utamanya, Lan yang bersahaja dibantu memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000 sebagai pemenang AJL23.

“Menilai segala aspek itu, juri melihat Lagu Untukmu layak diangkat sebagai juara AJL23 kerana mereka memperjuangkan aliran irama terkini dalam industri hiburan tempatan,” katanya dalam sidang media selepas AJL23 selesai.

Menjelaskan perbezaan markah antara Lagu Untukmu dan Sampai Syurga tidak terlalu besar, Azmeer berkata, dari segi persembahan dan mutu vokal, kelebihan sememangnya berpihak kepada Faizal yang berjaya menampilkan persembahan yang mengesankan.

Bagaimanapun, jelasnya, kelebihan itu tidak banyak membantu Sampai Syurga untuk diangkat sebagai pemenang utama kerana Lagu Untukmu mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi melodi, lirik dan susunan muzik.

“Lagu Untukmu mempunyai jumlah mata yang selesa untuk tewaskan Sampai Syurga kerana vokal dan persembahan tidak membawa markah yang besar pada malam pertandingan,” katanya.

Audi Mok yang kembali bertanding selepas tewas menerusi Mahakarya Cinta pada AJL22 lalu, turut memuji keberanian barisan juri profesional untuk mengangkat Lagu Untukmu sebagai juara.

“Saya gembira jika Sampai Syurga menang juara keseluruhan namun ia bukan lagi kejutan kerana sudah banyak lagu balada menjuarai pertandingan itu sebelum ini,” katanya.

AJL23 terbaik dari TV3

AJL22 yang mencatat 4.7 juta penonton turut memberi cabaran kepada produksi TV3 memberikan yang lebih baik berbanding apa yang pernah dipersembahkan tahun terdahulu.

Membawakan tema Iluminasi Muzik, AJL23 juga memperlihatkan kesungguhan kesemua peserta terpilih memberikan yang terbaik.

Pujian wajar diberikan apabila AJL23 menerapkan sinaran dan keajaiban cahaya disatukan dengan reka bentuk pentas yang mengagumkan menjadikan acara itu cukup sofistikated dan melambangkan prestij penganjurannya.

Keserasian pengacara antara Faizal Ismail dan Cheryl Samad jelas terserlah, malah turut membantu melancarkan perjalanan AJL23 dengan pengalaman yang dikutip sepanjang melunaskan tanggungjawab mereka dalam program mingguan, Muzik Muzik.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, AJL23 turut memainkan peranan pentingnya dalam meneruskan legasi industri muzik apabila memperkenalkan penyanyi pelapis menerusi segmen selingan yang disatukan dengan tiga nama besar iaitu Jamal Abdillah, M Nasir dan Jaclyn Victor.

Baginya, AJL23 turut mencipta kejayaan tersendiri apabila siaran langsung yang disiarkan dari Stadium Putra, Bukit Jalil dihadiri lebih 15,000 penonton - satu jumlah yang cukup memberi keselesaan kepada TV3 untuk mempertahankan betapa AJL masih lagi relevan dalam industri hiburan biarpun diasak pelbagai kontroversi dan kritikan.

petikan http://www.bharian.com.my/Tue......

0 comments: